Friday, June 19, 2009

Petani Kemboja timba ilmu PPK Seri Pulau

BALIK PULAU - Kunjungan rombongan petani Kemboja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau semalam memberi pelbagai manfaat dan pengalaman yang boleh dijadikan panduan.

Seramai 18 peserta rombongan yang terdiri dari petani dan pihak pengurusan pertanian berpeluang untuk berbincang dan mempelajari teknik pengurusan.

Koordinator Agronomes dan Veterinaire di Phnom Penh, Cedric Martin berkata, dia gembira kerana berpeluang mendalami dan memahami selok-belok pertanian dari PPK Seri Pulau.

“Banyak yang kami pelajari dan taklimat yang diberikan berjaya membuka ruang untuk kami mempraktikkan sistem organisasi yang dijalankan apabila pulang nanti.

“Dari apa yang saya lihat, PPK Seri Pulau berjaya menyusun atur dan menguruskan sistem pertanian dan kebajikan ahli dengan baik sekali dan kami merupakan pertubuhan pertanian yang baru beroperasi dan masih memerlukan bimbingan dari pelbagai pihak.

Menurut Cedric, lawatan selama lima hari merangkumi lawatan ke bendang, pusat tanaman cendawan dan bakeri. Rombongan tersebut akan ke Perak bagi meneliti struktur pengurusan dan tanaman yang dijalankan di sana.

Menurutnya, negara juga aktif dalam bidang pertanian dan ternakan, objektif mereka mengadakan lawatan adalah menimba sebanyak mana ilmu untuk dijadikan panduan.

“Perbincangan seumpama ini dapat mengupas banyak elemen sukses yang boleh kami gunakan untuk membangunkan lagi sistem pertanian kami di sana.

“Saya berharap agar segala input yang diberikan akan menjadi sumber kekuatan kami untuk meningkatkan hasil dan kualiti pertanian di Kemboja,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PPK Seri Pulau, Shafri Khalid berkata, rombongan tersebut akan dibawa melawat ke beberapa kawasan bagi memastikan mereka dapat melihat sendiri sistem pertanian dan pengurusan yang dijalankan.

“Kami gembira kerana mereka ke sini untuk belajar dan berharap agar segala maklumat yang diberikan akan membantu mereka. Peluang seumpama ini juga dapat membantu pihak kami untuk meningkatkan lagi kualiti dengan mengadakan sesi perbincangan dengan mereka agar kami sama-sama mendapat manfaat melaluinya.

“Saya juga berharap agar hubungan erat dapat dijalinkan dengan negara luar untuk bertukar-tukar idea dan pandangan dalam membangunkan industri pertanian negara,” katanya.

Hadir sama, menyertai rombongan, Pengarah Eksekutif Agricultural Development Action (ADA) Kemboja, Bun Kimsan dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang Dr Asarudin Ashari.

Originally at http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story2874873.asp

No comments:

Post a Comment

@BalikPulau in Tweetland

Related posts

BalikPulau.org / BP.pp.my

Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau (Social Entrepreneurs Club)

Buzzes on Balik Pulau

Balik Pulau Organisations

Blogs by BP-ites

Balik Pulau Feeds