GEORGETOWN – Kerajaan negeri merancang menubuhkan hab pendidikan bestari bertaraf antarabangsa di Balik Pulau bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat pendidikan bestari menghasilkan tenaga kerja kompetitif dan berpengetahuan tinggi.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, hingga setakat ini banyak bidaan daripada institusi pendidikan di dalam dan luar negeri termasuk Timur Tengah yang menunjukkan minat membuat pelaburan dalam projek terbaru kerajaan negeri ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa terdekat.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak hanya memfokuskan kepada penubuhan universiti dan kolej semata-mata, bahkan menggalakkan percambahan institut kemahiran dan kesusasteraan bagi memenuhi keperluan syarikat antarabangsa yang memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas dalam bidang kerja yang diceburi.
“Sebelum ini, kerajaan negeri menerima aduan dari syarikat antarabangsa yang melabur di negeri ini yang meminta kerajaan negeri menyediakan sumber tenaga kerja yang berdaya saing dan graduan baru yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja.
“Pelabur juga menggesa universiti tempatan menerapkan pengetahuan yang boleh diguna pakai siswazah untuk dipraktikkan di tempat kerja, dan tidak hanya bersandarkan pada teori semata-mata,” katanya pada sidang akhbar di majlis penyampaian hadiah pertandingan menulis kesusasteraan Tionghua, di Jalan Bagan Jermal, semalam.
Guan Eng berkata, tinjauan dilakukan kerajaan negeri mendapati graduan daripada universiti luar negara memperoleh gaji lebih tinggi sebanyak 60 peratus berbanding graduan lepasan universiti tempatan.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan graduan lepasan universiti tempatan tidak pandai berdikari, tidak berpengetahuan luas dalam bidang kerja diceburi di samping tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
“Keadaan ini perlu dibetulkan segera memandangkan kerajaan negeri cuba merapatkan jurang di antara kecemerlangan pengetahuan yang dipelajari dengan kecemerlangan ilmu yang diguna pakai graduan sewaktu bekerja kelak.
“Inisiatif tambahan daripada siswazah itu sendiri ditambah pula dengan usaha sama meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat universiti dalam kalangan pemain utama sektor awam, swasta dan masyarakat madani sama penting bagi memastikan matlamat baru kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat pendidikan bestari tercapai,” katanya.
Sehubungan itu katanya, perlaksanaan hab pendidikan yang menggabungkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan antarabangsa amat diperlukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pelabur seterusnya menerapkan budaya kecemerlangan dalam pendidikan dalam diri setiap penduduk negeri ini.
Originally at http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story2884412.asp
-
No comments:
Post a Comment