Tuesday, March 24, 2009

Blog Bash jana ilmu IT Balik Pulau - Sinar Harian (24mar09)

Di bawah ialah imbasan daripada artikel yang diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian edisi Utara di bahagian "Tanjung 2" (mukasurat U21), hari ini, Selasa 24 MAC 2009.

Berikut ialah teks penuh dari laman Web Sinar Harian tersebut:
BALIK PULAU - Masyarakat digalak agar bukan sahaja celik IT, tetapi mempelajari dengan lebih mendalam mengenai kecanggihan teknologi pengkomputeran yang boleh membawa keuntungan jika menggunakan saluran yang betul.

Kenyataan ini diakui oleh Timbalan Pengerusi Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau (KUSBP) Nasir Sobri.

Beliau yang ditemui pada Forum Blog Bash 09@Penang City berkata, penggunaan Internet terutamanya blog dapat membangunkan sesebuah komuniti mahupun penempatan agar hubungan antara kawasan akan lebih berkembang.

“Kita akan dapat mengembangkan sesebuah komuniti dan kampung dengan hanya menggunakan blog sahaja.

“Dengan adanya program seumpama ini, penduduk akan mendapat pengetahuan dan manfaat untuk membangunkan perniagaan, meningkatkan jualan dan menggunakan kecanggihan IT sebagai punca pendapatan,” katanya.

Program selama sehari itu menggabungkan forum, seminar dan bengkel mengenai laman web teknologi media di Dewan Balora Mastika dan dirasmikan Pengerusi MPUD-DBDPP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Program itu yang bertemakan Peranan dan Penggunaan Media Baru Dalam Pembangunan Ekonomi dan Sosial Setempat telah dihadiri lebih 70 peserta dari Baik Pulau dan sekitarnya.

Peserta didedahkan dengan penggunaan laman web terkini seperti Facebook dan Twitter.

“Ia adalah program pertama yang memperkenalkan penggunaan Twitter, iaitu sebuah laman web ‘social microsharing’ yang menjadi kegilaan masyarakat global kini.

“Penggunaan laman web ini merangkumi 10 juta terutamanya dari Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan Australia.

Penggunaan di Malaysia juga semakin meningkat dan ini adalah salah satu platform untuk memperkenalkannya kepada umum,” kata Nasir.

Kita akan dapat membimbing masyarakat setempat bagi memastikan pengetahuan IT dapat didalami untuk mewujudkan ahli perniagaan berilmu pengetahuan terutamanya kaum Bumiputera,” katanya.

Ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan bidang perniagaan turut terlibat dalam memberikan pandangan.

Antaranya ialah Pengurus Besar [Bahagian Pembangunan Usahawan Teknologi] Multimedia Development Corporation (MDEC) dan penjaga MSC Malaysia, agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Roslan Bakri Zakaria dan Pengurus E- Perhubungan Awam Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM), Elia Mastura Kamaruddin.

Program yang julung kalinya diadakan ini telah dianjurkan KUSBP dan Pusat Internet Desa Balik Pulau (PIDBP) iaitu inisiatif daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Ia turut mendapat sokongan daripada Persatuan Usahawan ICT Pulau Pinang dan Technopreneur Development Division (TeDD) of the Multimedia Development Corporation (MDeC/MSC Malaysia) dan Southwest District of Penang Council for Entrepreneur Development (MPUD-DBDPP).

Untuk maklumat lanjut tentang individu-individu yang disebut, rujuk album Blog Bash @ Penang City di Facebook.

Untuk video, laporan dan kandungan seminar & form, rujuk laman Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau.

Untuk mengaktifkan komuniti anda, hubungi Skuad Cakna di kawasan anda.

No comments:

Post a Comment

@BalikPulau in Tweetland

Related posts

BalikPulau.org / BP.pp.my

Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau (Social Entrepreneurs Club)

Buzzes on Balik Pulau

Balik Pulau Organisations

Blogs by BP-ites

Balik Pulau Feeds