Wednesday, April 13, 2011

Ekspo datang lagi...




Setelah menyepi sejak JULAI tahun lalu, Tunas Indah Niaga Enterprise, syarikat tempatan yang mengkhususi penganjuran ekspo-eskpo di sekitar kawasan utara Semenanjung, kini kembali ke Balik Pulau. Dengan nama baru "Ekspo Usahawan Sejahtera Harmoni", ekspo mini kali ini akan bermula pada Isnin, 18 APRIL 2011, selama tiga minggu, hingga 7 MEI 2011, bertempat di perkarangan Masjid Daerah Barat Daya al-Mokhtar.


Pelbagai acara hiburan dan informasi dijadualkan termasuk penampilan artis (Dr Fazley, kumpulan-kumpulan nasyid, dan lain-lain), ceramah oleh Ustazah Dato' Siti Nor Bahyah, sukan rakyat, pertandingan nasyid, hafazan, puisi & sajak, dan pastinya diakhiri dengan cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah berupa kenderaan dan barangan elektrik. Khemah-khemah untuk lebih 30 penggerai sudahpun didirikan seawal hari ini, Rabu, lima hari sebelum ekspo ini bermula.

Sunday, April 03, 2011

Acara Masyarakat Membuka Tirai April 2011

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Najib Tun Razak membuka tirai April 2011 di Balik Pulau, yang mana Kampung Permatang Pasir telah diberi peluang untuk menghoskan sambutan ketibaan beliau, dengan Jamuan Rakyat yang cukup besar - dianggarkan lebih 15,000 orang telah hadir bermula tengahari Sabtu, 2 APR, hingga ke jam 3 petang.


Turut terlibat dalam acara sambutan ialah konvoi bermotor bermula dari jalan masuk ke Balik Pulau, di Jalan Tun Sardon.



Bagi ramai penduduk Balik Pulau, tua dan muda, ini adalah peluang untuk mendengar terus dari Perdana Menteri, dan mana yang sempat, malah bersemuka dan bersalaman dengan beliau, barangkali pertama kali sejak Dato' Seri Najib mula menjawat pos tertinggi kerajaan tersebut seawal tahun 2008.


Andai tersoal mengapa Balik Pulau, pastinya kerana inilah satu-satunya kubu parti Barisan Nasional (BN) yang ada di Pulau Pinang, dengan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan parlimen Balik Pulau yang terpilih dalam pilihanraya 2008 adalah dari UMNO, parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional - selain beberapa kawasan-kawasan lain di Seberang Perai dalam negeri yang sama.


Bagi kebanyakan penduduk kampung setempat, dan juga warga dari empat lagi kampung-kampung sekitar Balik Pulau yang turut serta, ini adalah peluang untuk bergotong-royong seawal petang Jumaat lagi, khususnya dalam menyediakan makanan melibatkan sepuluh ekor lembu dan seribu ekor ayam.

Malam sebelumnya, yakni pada hari Jumaat, 1 APRIL, juga diadakan Forum Perdana Islam di Komplek Sukan Balik Pulau. Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Pemuakatan Islam (PIBG) Barat Daya, Pejabat Pelajaran Daerah Barat Daya dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Barat Daya, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Islam Malaysia yang dipengerusikan oleh YB Dato Seri Hj Hilmi Yahaya, merangkap ADUN kawasan Teluk Bahang, Balik Pulau.


Hadirin juga dihiburkan dengan enam buah lagu yang didendangkan oleh kumpulan nasyid popular, Raihan.




KREDIT: Gambar-gambar dari album-album Facebook seperti yang dihubungkan.

@BalikPulau in Tweetland

Related posts

BalikPulau.org / BP.pp.my

Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau (Social Entrepreneurs Club)

Buzzes on Balik Pulau

Balik Pulau Organisations

Blogs by BP-ites

Balik Pulau Feeds