Tak jauh dari Pondok Upeh pula, dalam lingkungan 2 kilometer di Jalan (Besar) Balik Pulau, kini dibuka beberapa bangunan perkhidmatan kerajaan baru yang gah seperti Masjid Daerah Barat Daya al-Mokhtar, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Perpustakaan Cawangan Balik Pulau, Kompleks Mahkamah Balik Pulau dan Mahkamah Syariah (akan siap tak lama lagi).
Secara congak, terdapat lebih 20 buah sekolah atau institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di dalam lingkungan 5-km dari pusat bandar Balik Pulau, Kongsi. Beberapa sekolah dan institusi pendidikan baru juga telahpun dibuka di Balik Pulau atau sedang giat dalam pembinaan seperti berikut:-
- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di Jalan Balik Pulau
- Sekolah Menengah Teknik (SMT) Balik Pulau di Jalan Balik Pulau
- (Kompleks Pendidikan) Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Jalan Sungai Nipah, Simpang Empat, Balik Pulau - Ini adalah cawangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor yang sementara ini menumpang di bangunan wakaf Masjid Riduaniah, Sungai Batu, Bayan Lepas. (Bakal siap pada September 2010 seperti dijadualkan atau lewat lagi seperti pembinaan-pembinaan awam lain di Jalan Balik Pulau?)
- Prince of Wales International School di Botanica.CT, Jalan Sungai Air Putih, Sungai Rusa, Balik Pulau - dikhabarkan bernilai RM95 juta dan akan dibuka untuk pendaftaran pada September 2010 dan sesi persekolahan seawal September 2011.
- Politeknik Balik Pulau
- Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di Jalan Pondok Upeh, Simpang Empat
- Island College of Technology di Jalan Sungai Rusa, Balik Pulau
Terbaru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengambil alih tanah seluas 200 ekar berharga sekitar RM100 juta untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan cemerlang, dengan pelawaan kepada institusi-institusi pendidikan Islam antarabangsa untuk turut terlibat.
Kalau nak tau besar mana 200 ekar tu atau bersamaan 0.8 kilometer persegi, yakni 0.08% keluasan negeri Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai), lebih kecil sedikit daripada 260 ekar yang dibeli oleh Kerajaan Negeri dari Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd pada tahun 1972 dengan harga sekitar RM3 juta untuk pembangunan di kawasan Bayan Baru (Harga pasaran tanah di Pulau Pinang dah naik antara 100-1,000 kali dalam tempoh 40 tahun). Berbanding dengan pembangunan terdekat di Balik Pulau, alokasi 200 ekar ini bersamaan dua pertiga (2/3) daripada 300 ekar di Botanica .CT, Sungai Air Putih (yang lebih besar daripada pembangunan di pekan Kongsi sekarang!).
Liputan media dari BERNAMA ada disertakan:-
19 Mei, 2010 17:08 PM
P Pinang Rancang Bangunkan Hub Pendidikan Cemerlang Di Balik Pulau
BUKIT MERTAJAM, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha menyediakan satu kawasan seluas 200 ekar di Balik Pulau dekat sini, khusus untuk membangunkan sebuah Hub Pendidikan Cemerlang bagi mengundang ketibaan institusi pengajian tinggi unggul antarabangsa untuk beroperasi di kawasan itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata proses pengambilalihan tanah bernilai RM100 juta untuk pembangunan hub itu sedang dilaksanakan dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
"Kami sedang berbincang dengan pelabur bagi membangunkan kawasan berkenaan yang dijangka mula beroperasi dalam tempoh setahun dua lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri kepada Sekolah Agama Rakyat di Pulau Pinang di Permatang Nibong di sini Rabu.
Turut hadir di majlis itu ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.
Lim berkata kerajaan negeri juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa buah pusat institusi pengajian tinggi terunggul antarabangsa untuk membina kampus mereka di kawasan hub berkenaan.
"Saya berharap institusi Islam teragung dunia seperti Universiti Al-Azhar juga boleh bertapak di kawasan berkenaan dan ia akan menjadikan Pulau Pinang lebih bertaraf antarabangsa," katanya.
Terdahulu pada majlis itu Lim menyerahkan peruntukan RM1.75 juta bagi tahun ini kepada 21 buah Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz yang beroperasi di Pulau Pinang.
Katanya beliau berharap dengan pengagihan peruntukan itu, ia akan memberi perangsang kepada semua pelajar dan guru yang terlibat untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan.
"Peruntukan itu mungkin tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan yang diperlukan bagi menaik taraf sekolah agama rakyat dan saya harap kerajaan pusat dapat menyalurkan bantuan tambahan," katanya.
-- BERNAMA
May 19, 2010 17:39 PM Penang To Transform Balik Pulau Into An Education Hub
BUKIT MERTAJAM, May 19 (Bernama) -- The Penang state government has identified a 200-acre site in Balik Pulau, to be turned into a hub for excellence in education, by inviting higher learning institutions to set up their campus.
Penang Chief Minister Lim Guan Eng said the project for the hub was in the process of land acquisition which is expected to cost about RM100 million.
"We are discussing the prospect with investors and work is expected to start in a year or two," he told reporters after handing out contributions to religious schools in the state at Permatang Nibong here Wednesday.
Lim said the state government had discussed the setting up of higher learning institutions at the hub with two renown international higher learning institutions.
"I hope world renown Islamic universities like Al-Azhar University can set up their campus here," said Lim who handed out grants totalling RM1.75 million to 21 religious schools and Maahad Tahfiz in the state.
"The grants may not be enough to overcome their total expenditure and I hope the Federal government will also support through some form of contribution to ease their burden," he said.
-- BERNAMA