Tuesday, August 19, 2008

Simpang Tiga Maut Taman Sri Indah

Lebih kurang jam 10.30 malam tadi (Isnin 19 OGOS 2008), terdengar bunyi perlanggaran kenderaan yang begitu kuat dari simpang tiga ngeri yang hanya kurang daripada 20 meter tempat saya baru nak menikmati mee goreng mamak (di Restoran 24-jam Taman Sri Indah). Saya pasti ianya satu lagi kemalangan yang hampir sama dengan beberapa kemalangan yang sama di situ - sebuah kenderaan menghala masuk ke Taman Sri Indah dan sebuah lagi pasti meluncur laju dari arah Kongsi ke arah Simpang Empat Genting di barat daya.

Kurang daripada tujuh bulan yang lalu, saya sendiri menjadi mangsa simpang tiga 'berhantu' ini - kurang daripada sesaat membezakan kecederaan kecil dan kecederaan parah/maut bagi saya apabila dilanggar sebuah kereta meluncur laju ketika saya menunggang motosikal.

Puluhan orang ramai yang sedang berehat atau membeli-belah di kedai-kedai berdekatan terus bergegas di tempat kejadian, menghulurkan bantuan kepada kedua-dua mangsa serba-sedikit. Dari jauh, kelihatan dua buah motosikal yang hancur berderai. Khabarnya dan kelihatannya, kedua-dua motosikal tersebut baru lepas berlanggar depan sama depan. Kedua-dua penunggang motosikal berasingan terbaring di jalan raya, mengerang nampaknya kerana kesakitan yang amat. Pak Cik berumur dalam lingkungan umur 50-an parah di bahagian kaki, dan pemuda dalam lingkungan umur 20-an terbaring berlumuran darah di kepala.

Kurang daripada lima minit kemudian, siren ambulan kedengaran dan sebuah van tiba membawa paramedik dari Hospital Balik Pulau yang terletak kurang daripada dua kilometer dari tempat kejadian, yang terus mengusung "pak cik" dengan kereta roda. Mangsa kedua ditinggalkan buat sementara waktu untuk diambil dalam 'trip' kedua. Kedua-dua mangsa nampak masih hidup, tapi, parahnya kecederaan mereka hanya akan diketahui selepas pemeriksaan doktor di wad kecemasan Hospital Balik Pulau.

Banyak sebab kenapa kemalangan sebegini terus berulang di tempat yang sama, melalui senario yang hampir sama setiap kali. Tapi nampaknya tiada tindakan positif daripada pihak berkuasa selama bertahun-tahun lamanya. Kawasan simpang tiga di Jalan Balik Pulau tersebut cukup gelap dengan lampu jalan yang tidak berfungsi, termasuk beberapa lampu-lampu jalan yang lain yang begitu malap atau langsung tidak berfungsi, walaupun jalan tersebut cukup dekat dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (kedua terbesar di Pulau Pinang) - kurang daripada sekilometer, tapi lebih 20 minit selepas kemalangan tadi, masih tak kelihatan langsung seorang pun pegawai polis di tempat kejadian -- khabarnya hampir semua pegawai polis dikerahkan ke Permatang Pauh di Seberang Perai (sama ketika saya mengalami kemalangan di situ - tak seorang polis pun yang datang menjenguk!).

Malah ada pejabat-pejabat operasi politik untuk kedua-dua 'parti pemerintah' Barisan Nasional dan pembangkang Pakatan Rakyat di rumah-kedai Taman Sri Indah - apakah pemimpin-pemimpin politik Balik Pulau tidur, atau terlalu sibuk dengan kegamatan di Permatang Pauh sampai lupa tempat sendiri? Sampai bila penduduk di situ wajar terus menunggu sehingga lampu-lampu jalan diperbaiki atau ditambahkan lampu trafik? (atau dibuangkan terus pembahagi jalan yang menghalang kenderaan-kenderaan mengelak ketika keadaan terdesak).

Apa perlu lebih banyak kemalangan ngeri dan meragut nyawa berlaku baru wakil-wakil rakyat dan jabatan kerajaan terbabit nak buat sesuatu? Apakah pihak polis (trafik) akan terus membisu dan akan terus berpeluang meminta wang suap setiap kali kemalangan berkomplikasi sebegini berlaku?

2 comments:

  1. Apa perlu lebih banyak kemalangan ngeri dan meragut nyawa berlaku baru ADUN Kampung Perlis dan Ahli Parlimen (MP) Balik Pulau nak buat sesuatu? Apakah pihak polis (trafik) akan terus membisu dan akan terus berpeluang meminta wang suap setiap kali kemalangan berkomplikasi sebegini berlaku?

    Rasanya dah lama Taman Sri Indah tu dibina, dan sejak tu, dah banyak dah eksiden, tapi, "orang yang pegang kuasa" zaman tu, asyik dok pikir bab duit saja, tu yg dibiarkan, then, bila takdak kuasa, baru la nak tolong orang, bantu orang..

    -terbaca article tentang YB Farid tolong orang pmatang tepi yang tak pernah dapat air bersih sejak 34 tahun dahulu-

    http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2008&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm

    -tapi Alhamdulillah, sejak PKR pegang, ada kebaikkan jugak, masing-masing baru la jalankan tanggungjawab, kalau tidak, apa pun takdak -

    - sekadar renungan -

    ReplyDelete
  2. Dari satu segi Yes...keadaan jalan raya, simpang tiga, tiada lampu, U all just find out seberapa banyak masalah keadaan persekitaran ditempat kejadian. Saya berpendapat isu yang patutnya diketengah kan ialah kronologi peristiwa kejadian tersebut itu perlu kita tahu.

    Ada yang kata terdapatnya elemen perlumbaan haram pelajar..melibatkan 2 buah motor yang sedang Lumba Haram. Si mati ini adalah mangsa daripada kejadian lumba haram berkenaan. Maka bukankah modal insan dan penguatkuasaan polis , traffic, YB, Ketua Umno, Ketua Keadilan ,Ketua Pas. Siapa saja lah yang diiktiraf pemimpin disitu mengmbil tahu. Kenapa kah polis tidak cuba siasat elemen kecuaian dan jenayah jalan raya yang berlaku.

    APa yang sebenarnya berlaku di Balik Pulau?. Budak-budak motor makin kurang ajar.

    Diberitahu juga orang dan motor yang melanggar itu juga merupakan budak yang tiada lesen. Jadi yang mati bagaimana??. Dan ibu-bapa si mati itu juga masih hidup dan si mati itu adalah merupakan waris lelaki sulung keluarganya.

    Mungkin ada yang akan respon kepada saya. Insyaallah

    ReplyDelete

@BalikPulau in Tweetland

Related posts

BalikPulau.org / BP.pp.my

Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau (Social Entrepreneurs Club)

Buzzes on Balik Pulau

Balik Pulau Organisations

Blogs by BP-ites

Balik Pulau Feeds